SHAH ALAM, 14 MAC: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyampaikan agihan tabung wakaf tunai berjumlah RM41,526 kepada Masjid An-Nur Temasya Glenmarie bagi tujuan menaik taraf serta baik pulih fasiliti untuk keselesaan jemaah.
Agensi itu memaklumkan, agihan adalah hasil daripada tabung wakaf tunai yang ditempatkan di masjid tersebut.
“Sebanyak 50 peratus daripada kutipan tabung wakaf tunai diagihkan semula kepada pihak masjid untuk tujuan pembangunan dan penyelenggaraan aset masjid,” katanya di Facebook.
Sumbangan disampaikan Pengurus Bahagian Korporat PWS Muhammad Hafiz Bahari, kepada pihak pengurusan masjid pada 12 Mac.
Selain penyerahan, turut diadakan program pengimarahan yang menyentuh kepentingan menghidupkan amalan wakaf sebagai sedekah jariah yang berterusan.
“Bagi menggalakkan penyertaan masyarakat, kaunter wakaf turut dibuka kepada jemaah untuk memberi peluang melazimi ibadah wakaf, khususnya sempena Bulan Wakaf Selangor dalam keberkatan Ramadan yang mulia.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PWS dalam memperkasa institusi masjid melalui pengurusan wakaf yang strategik serta memastikan manfaat wakaf terus kembali kepada komuniti setempat,” katanya.








