Projek tenusu PKPS bermula suku kedua 2026, hasil lebih 32,000 liter sehari

14 Mac 2026, 2:30 AM
Projek tenusu PKPS bermula suku kedua 2026, hasil lebih 32,000 liter sehari

SHAH ALAM, 14 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bakal membangunkan projek ladang tenusu Ehsan Dairy Farm di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata projek itu akan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 32,850 liter susu sehari.

“Pembinaan Ehsan Dairy Farm di Bukit Tagar bakal bermula pada suku kedua tahun ini dengan kapasiti pengeluaran 32,850 liter susu sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ukhwah PKPS dan Media yang dihadiri kira-kira 120 tetamu di Wyndham Acmar Klang di sini semalam.

Pada 10 Ogos tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Ehsan Dairy Farm.

PKPS memaklumkan kawasan ladang seluas 42 ekar itu akan menempatkan lembu tenusu baka berkualiti tinggi jenis Jersey-Holstein Friesian (F2) yang diimport dari Australia.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Khairil berkata produk jenama Ehsan keluaran PKPS mula menembusi pasaran antarabangsa di Australia, Yaman serta Oman.

“Seterusnya, jenama Ehsan t akan urut menembusi pasaran di Mekah, Madinah, Bosnia dan Herzegovina, Manchester dan Paris.

“Semua ini adalah hasil sokongan rakan media dan rakyat yang membantu memperkenalkan produk Ehsan sehingga dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

Jelasnya, program intervensi harga dan Jualan Ehsan Rahmah juga akan diteruskan bagi memastikan rakyat Selangor dapat menikmati barangan makanan pada harga lebih rendah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.