SHAH ALAM, 29 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melancarkan dua jenama baharu makanan dan minuman, Maakan dan Miinoom bagi memperluas pemasaran produknya termasuk ke pasaran global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pembangunan dua subjenama Ehsan itu adalah langkah strategik bagi mengurangkan kebergantungan agensi berkenaan kepada pihak luar.
Menurutnya, inisiatif itu turut memperkukuh rantaian pengeluaran makanan PKPS daripada peringkat bahan mentah hingga pemprosesan dan pemasaran.
“Kita jalankan kerjasama dengan PS Food & Beverage antaranya untuk kita buat retort, makanan siap untuk dimakan (RTE).
“Kita adakan pembungkusan sendiri dengan pelancaran subjenama di bawah Ehsan iaitu Maakan dan Miinoom,” katanya ditemui selepas majlis perasmian penutup Ehsan Family Fiesta 2026 anjuran PKPS di sini, hari ini yang disempurnakan EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim.

Beliau berkata, usaha itu juga membolehkan PKPS memperkukuh rantaian pengeluaran makanan daripada peringkat bahan mentah hingga pemprosesan dan pemasaran.
“Ini adalah salah satu daripada langkah yang telah dilaksanakan oleh PKPS, di mana sebelum ni kita bergantung kepada pihak luar, produk ada, menepati syarat, namun kita bergantung kepada orang.
“Untuk menjadikan program ini untuk lebih laju dan untuk memberikan harga yang lebih murah kepada rakyat sebenarnya kita tidak boleh bergantung kepada orang lain,” katanya.
Sebelum ini, PKPS menjalin kerjasama strategik dengan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) bagi memperluas pemasaran produk jenama Ehsan pada harga berpatutan.
Dr Mohamad Khairil menerusi kenyataan berkata 27 produk jenama Ehsan termasuk beras dan minyak masak, akan dipasarkan menerusi rangkaian PERNAMA.











