Projek Ehsan Dairy Farm PKPS lonjak industri tenusu, kurangkan bekalan import

10 Ogos 2025, 8:52 AM
Projek Ehsan Dairy Farm PKPS lonjak industri tenusu, kurangkan bekalan import
Projek Ehsan Dairy Farm PKPS lonjak industri tenusu, kurangkan bekalan import

HULU SELANGOR, 10 OGOS: Pembinaan Kompleks Lembu Tenusu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Sungai Tengi, bakal menjadi pengubah keadaan untuk mengurangkan kebergantungan import bekalan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata projek Ehsan Dairy Farm seluas 42 ekar adalah satu langkah proaktif untuk merealisasikan hasrat tersebut, memandangkan kerajaan mengimport 94.7 peratus bahan tenusu bernilai RM4.6 bilion setahun.

“PKPS sedang melaksanakan projek pengeluaran tenusu berskala besar. Usaha ini seiring hasrat negara untuk meningkatkan pengeluaran tenusu tempatan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 baru-baru ini menyatakan negara mengalami bebanan yang agak besar apabila kita mengimport bahan makanan termasuk tenusu dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menyempurnakan perasmian majlis pecah tanah kompleks ladang tenusu tersebut di sini, hari ini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu kerajaan komited memperkukuh latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor pertanian berteknologi tinggi bagi melahirkan tenaga kerja mahir serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja import.

Justeru, beliau menyarankan semua institut latihan pertanian di seluruh negara melaksanakan pendekatan pengajaran 30 peratus teori di kelas dan 70 peratus latihan praktikal di lapangan.

“Majlis TVET Negara bersedia membantu mana-mana institut latihan pertanian di seluruh negara untuk melatih anak-anak muda yang berminat dalam bidang pertanian, khususnya teknologi pertanian berteknologi tinggi.

"Kita yakin modul yang telah tersedia selama ini adalah baik, namun pada hemat saya penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dan juga kaedah pedagogi pengajaran yang sesuai perlu diterapkan bagi meningkatkan keberkesanan kursus TVET ini," ujarnya.

Katanya lagi, graduan TVET yang memperoleh Sijil Kompetensi Kemahiran Malaysia (CJPM) Tahap Tiga ditawarkan gaji minimum RM3,000, manakala pemegang CJPM Tahap Lima yang setara diploma berpotensi memperoleh gaji sekitar RM5,000 bagi menarik minat mereka menyertai bidang ini.