HULU SELANGOR, 10 OGOS: Pembinaan Kompleks Lembu Tenusu ‘Ehsan Dairy Farm’ di Sungai Tengi memperkukuhkan usaha Selangor untuk menjadi pusat sekuriti makanan negara.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai negeri paling maju dan berpenduduk padat, projek dibangunkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu sebagai langkah strategik menjamin bekalan makanan untuk masa depan.
“Selangor menerima migrasi paling ramai dan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kadar pertumbuhan di negeri Selangor lebih dua juta penduduk dalam tempoh 10 tahun.
“Walaupun Selangor mengalami kadar pertumbuhan yang agak rendah pada sekitar 1.6 peratus banding kadar nasional pada 1.7 peratus tetapi migrasi bertambah. Kita bukan mesti hanya menyediakan rumah, peluang pekerjaan tetapi aspek lebih penting iaitu bekalan makanan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kompleks Lembu Tenusu ‘Ehsan Dairy Farm’ PKPS di sini, yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Amirudin berkata aspek sekuriti makanan antara agenda utama yang akan dimasukkan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Mengulas lanjut, katanya kerjasama erat antara negeri dan persekutuan menjadi asas penting untuk terus melaksanakan pelbagai agenda pembangunan.
“Tanpa kestabilan, negeri tidak dapat mempertahankan kepentingan sendiri apatah lagi memberi manfaat kepada pihak lain. Pengalaman beberapa tahun lalu menunjukkan, apabila tiada kestabilan, kita gagal melihat serta menyelesaikan isu tempatan.
“Di bawah kepimpinan timbalan perdana menteri yang menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memberi sokongan yang ampuh dan kita dapat merealisasikan projek seperti jagung bijirin yang telah kita bangunkan seluas 300 ekar di tanah gambut,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pembangunan Ehsan Dairy Farm menjadi inisiatif strategik untuk merubah landskap industri tenusu Selangor dan Malaysia secara menyeluruh.
“Dibangunkan di atas tanah seluas 42 ekar projek bakal menempatkan lebih 1,200 ekor lembu tenusu baka tinggi yang diimport dari Australia, dengan sistem penternakan moden berasaskan teknologi pintar, automasi dan prinsip kelestarian alam sekitar.
“PKPS menyasarkan pengeluaran susu segar mencecah 1.8 juta liter setahun di ladang ini dengan anggaran pendapatan RM7.5 juta,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad Kharil yakin kerjasama strategik secara berterusan antara Kerajaan Negeri dengan persekutuan menjadikan Selangor berpotensi muncul sebagai hab utama pengeluaran susu segar negara.
“Kerjasama juga berupaya memperkukuh kedaulatan makanan dan menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya lagi.




