PKPS perluas Ehsan Family Fiesta ke sembilan daerah, tawar 9,000 ayam RM5 seekor

29 Nov 2026, 5:57 AM
PKPS perluas Ehsan Family Fiesta ke sembilan daerah, tawar 9,000 ayam RM5 seekor

SHAH ALAM, 29 NOV: Sebanyak 9,000 ayam segar dijual pada harga RM5 seekor sepanjang tiga hari penganjuran Jualan Ehsan Rahmah Madani sempena Ehsan Family Fiesta 2026 oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

EXCO Pertanian Dato’ Ir. Izham Hashim berkata jualan istimewa itu merupakan sebahagian daripada pendekatan agensi berkenaan untuk mengembalikan manfaat perniagaan kepada masyarakat, khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

“Ayam RM5 seekor ini memang kita bagi istimewa. Sebab tadi kita berkongsi keuntungan yang kita ada sikit sebanyak itu dan juga adalah elemen subsidi yang kita bagi itu.

“Kita semua tahu, program ini adalah untuk kita pulang balik apa yang telah kita dapat, apa yang telah kita niagakan selama ini, apa yang telah kita bangun dalam PKPS untuk pulang balik kepada rakyat.

“Kalau biasa ayam kita dapat RM10 seekor, kali ini kita buat, kita turunkan harga lagi RM5 seekor sahaja sempena Ehsan Family Fiesta yang berakhir hari ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian penutup program yang berlangsung sejak Jumaat lalu itu.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim (dua, kanan) merasmikan Majlis Penutup Family Fiesta di perkarangan parkir kereta Wisma PKPS, Shah Alam pada 29 November 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR 

Menurut Izham selain ayam, pelbagai produk jenama Ehsan Mart turut ditawarkan pada harga antara 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran kepada pengunjung fiesta itu.

Katanya, sambutan terhadap fiesta itu amat memberangsangkan apabila jumlah pengunjung melebihi sasaran awal 10,000 orang yang dianggarkan mencecah kira-kira 17,000 sehingga tamat program hari ini.

“Kita lihat ini boleh dikatakan sebagai satu kejayaan penganjuran program tiga hari kerana telah melebihi sasaran yang telah kita tetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata PKPS bercadang memperluas penganjuran Ehsan Family Fiesta menerusi program jelajah merangkumi sembilan daerah di Selangor tahun depan.

“Di samping meneruskan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) menerusi enam lori yang bergerak ke daerah dan lokasi terpilih setiap hari, kita akan adakan JER versi premium seperti ini dalam bentuk karnival atau besar-besaran melibatkan juga pempamer lain seperti foodtruck dan agensi.

“Kita pula yang akan pergi kepada rakyat, kita bawa barang-barang kita untuk memudahkan rakyat untuk membeli barang-barang.

“Ini antara usaha penting bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan, terutama ketika berdepan isu kos sara hidup dan kenaikan harga minyak,” katanya.

Sepanjang tiga hari penganjuran Ehsan Family Fiesta 2026 pengunjung berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga subsidi yang lebih rendah berbanding harga pasaran menerusi inisiatif Jualan Ehsan Rahmah MADANI.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berucap dalam Majlis Penutup Family Fiesta di perkarangan parkir kereta Wisma PKPS, Shah Alam pada 29 November 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Antara tawaran utama yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk ayam segar (RM5 seekor), ikan keli segar (empat ekor RM5) dan ikan tilapia merah segar (empat ekor RM10).

Selain itu, lampin pakai buang pada harga RM5. Selain jualan barangan keperluan asas, fiesta itu turut menampilkan pelbagai aktiviti kekeluargaan, persembahan hiburan, pameran hasil pertanian dan jualan produk usahawan tempatan, sekali gus menyediakan ruang interaksi antara PKPS, rakan strategik dan masyarakat.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.