197 individu DUN Morib terima sumbangan Aidilfitri Yayasan TM

13 Mac 2026, 1:09 PM
197 individu DUN Morib terima sumbangan Aidilfitri Yayasan TM
197 individu DUN Morib terima sumbangan Aidilfitri Yayasan TM
197 individu DUN Morib terima sumbangan Aidilfitri Yayasan TM

KUALA LANGAT, 13 MAC: Seramai 197 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib terpilih menerima sumbangan menerusi program Cahaya Ramadan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

Program tahunan anjuran Yayasan TM yang diadakan di Dewan Kampung Sawah, Banting itu menyediakan pek makanan berjumlah RM80 serta wang tunai sebanyak RM200 kepada penerima.

EXCO Infrastruktur merangkap Penyelaras DUN Morib, Dato’ Ir Izham Hashim berkata program berkenaan dianjurkan bagi menyantuni golongan yang memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Penerima dipilih daripada kalangan mereka yang tidak menerima sebarang bantuan, termasuk baucar Jom Shopping dan sebagainya. Mereka inilah yang kita santuni dan bantu,” katanya kepada Media Selangor.

Nur Hidayanah Md Piah

Sementara itu, suri rumah, Nur Hidayanah Md Piah, 43, meluahkan rasa syukur terpilih sebagai penerima bantuan selain menyifatkan sambutan Syawal ini sebagai yang paling berbeza dan meriah.

Beliau mengakui julung kali menerima sumbangan dan menyifatkan ia sebagai rezeki Ramadan keluarga pada tahun ini.

“Ini pertama kali saya dapat sumbangan. Terkejut juga mula-mula kerana saya rasa lebih ramai lagi yang lebih layak. Tetapi akhirnya saya rasa, ini rezeki anak-anak.

“Wang sumbangan ini saya akan gunakan untuk tambah kelengkapan yang belum cukup, terutamanya keperluan dapur dan makanan untuk Hari Raya,” katanya.

Saiful Misraini

Bagi Saiful Misraini, 45, beliau menyifatkan sumbangan ini sebagai rahmat dan amat membantu persiapan menyambut Aidilfitri keluarganya pada tahun ini.

Bapa enam anak ini berkata, keluarganya hanya mengharapkan pendapatan isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berikutan keadaan dirinya yang uzur.

“Saya menghidap pelbagai penyakit dan perlu dialisis. Bantuan ini sangat membantu keluarga kami. Terima kasih TM kerana sudi memberikan sumbangan kepada kami menjelang Hari Raya,” katanya sebak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.