PETALING JAYA, 7 MAC: Seramai 195 penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan keluarga B40 menerima sumbangan bakul makanan serta duit raya sempena Ramadan menerusi program kebajikan anjuran Yayasan Telekom Malaysia (TM) Selangor.
Bantuan melibatkan penduduk dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Gasing, Seri Setia dan Taman Medan itu bertujuan meringankan beban perbelanjaan sepanjang Ramadan selain membantu persiapan menyambut Aidilfitri.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata program tahunan berkenaan mencerminkan keprihatinan Yayasan TM Selangor dalam menyantuni golongan memerlukan di sekitar Petaling Jaya.
“Sumbangan berupa bakul makanan (RM80) dan duit raya (RM200) itu sedikit sebanyak dapat membantu penerima mengurangkan beban perbelanjaan harian terutama sepanjang Ramadan.
“Program seperti ini amat kita hargai kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan khususnya golongan asnaf, anak yatim dan keluarga B40 di kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Cahaya Ramadan anjuran Yayasan TM Selangor di Masjid Al-Husna, Bandar Sunway, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar berkata inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama badan kebajikan TM serta komuniti setempat bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.
Menurut beliau, pemilihan penerima dibuat berdasarkan rekod kariah, persatuan setempat serta ketua komuniti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Agihan bakul makanan yang mengandungi barangan asas seperti minyak dan beras diharap dapat membantu meringankan beban penerima sepanjang Ramadan.
“Dalam masa sama, sumbangan duit raya juga memberi peluang kepada mereka membuat sedikit persiapan bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.









