Altimet gesa garis panduan penggunaan AI, lindungi karya asal

14 Mac 2026, 2:00 AM
Altimet gesa garis panduan penggunaan AI, lindungi karya asal

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan diseru mewujudkan garis panduan yang jelas berhubung penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengelakkan teknologi itu disalah guna, termasuk dalam penghasilan karya kreatif seperti muzik, filem dan kandungan digital.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata langkah itu penting memandangkan kebanyakan karya atau kandungan dijana AI dibangunkan berasaskan bahan sedia ada yang dihasilkan pihak lain.

“Saya setuju AI merupakan alat. Ia bukan pengganti kepada penghasilan dalam industri filem atau muzik, sebaliknya sekadar alat baharu yang boleh menjadi kawan atau lawan bergantung kepada bagaimana individu menggunakannya.

“AI juga menghasilkan karya atau kandungan berdasarkan karya orang lain, jadi terdapat ruang untuk perkara itu dieksploitasi sekiranya tiada garis panduan yang jelas,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Syed Ahmad yang juga dikenali sebagai Altimet berkata pengguna turut mempunyai peranan untuk memastikan penggunaan teknologi berkenaan tidak melanggar etika atau peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, kewujudan akta berkaitan akan memudahkan masyarakat melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat individu menyalahgunakan teknologi AI.

“Jika pengguna merasakan sesuatu karya AI itu melanggar garis panduan, mereka boleh melaporkannya atau sekurang-kurangnya tidak menyokong individu yang menghasilkan karya tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata artis dan pengkarya tidak akan ketinggalan walaupun tidak menggunakan AI kerana kebanyakan daripada mereka masih menghasilkan karya secara asli dan kreatif.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata AI perlu dilihat sebagai alat yang mampu memperkukuh proses kreatif dalam industri seni, khususnya muzik dan perfileman, bukannya menggantikan peranan pengkarya.

Menurutnya, proses kreatif pada asasnya masih berpaksikan idea serta sentuhan manusia dan perlu dipelihara bagi memastikan masa depan industri kreatif terus relevan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.