ISTANBUL, 10 NOV: Meta pada Isnin mengumumkan peluasan penggunaan teknologi anggaran umur berasaskan kecerdasan buatan (AI) di seluruh dunia bagi membolehkan jutaan lagi pengguna Instagram dilindungi menerusi ciri Akaun Remaja (Teen Accounts), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut syarikat itu, teknologi berkenaan mampu mengenal pasti pengguna yang disyaki masih remaja, walaupun mereka mendaftar menggunakan tarikh lahir yang menunjukkan mereka sudah dewasa.
Meta memaklumkan bahawa akaun yang dikenal pasti milik remaja akan menerima perlindungan bersesuaian dengan umur mereka secara automatik.
Ciri Akaun Remaja mengehadkan individu yang boleh menghubungi pengguna muda, kandungan yang boleh mereka akses serta tempoh masa penggunaan platform itu.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa teknologi anggaran umur berkenaan sedang diperkenalkan secara berperingkat di Facebook, selain merancang untuk melaksanakan sistem serupa di Threads pada peringkat global menjelang akhir tahun ini.
Peluasan itu susulan komitmen Meta menerusi perjanjian dengan 52 peguam negara dari negeri dan wilayah Amerika Syarikat (AS), termasuk Daerah Columbia.
Menurut Meta, perjanjian berkenaan bertujuan memperkukuh usaha mengenal pasti pengguna remaja serta kanak-kanak berumur bawah 13 tahun.
Meta memaklumkan bahawa ibu bapa di AS akan mula menerima maklumat menerusi Instagram bulan ini mengenai ciri perlindungan berkenaan dan cara memastikan anak mereka memberikan maklumat umur yang tepat.
Di Australia, syarikat itu mula menggunakan maklumat julat umur yang dikongsikan Apple sebagai langkah tambahan untuk mengesahkan umur pengguna.
Meta turut menggesa platform pesaing termasuk TikTok dan YouTube, supaya melaksanakan langkah serupa dengan menegaskan bahawa perlindungan yang konsisten merentas platform media sosial adalah penting.
Menerusi perjanjian yang diumumkan pada Ogos lepas, Meta komited memperkenalkan langkah perlindungan tambahan untuk pengguna muda.
Langkah itu termasuk had penggunaan harian, sekatan waktu malam secara lalai, memastikan notifikasi ketika waktu persekolahan serta peluasan kawalan ibu bapa.
-- BERNAMA-ANADOLU







