SHAH ALAM, 13 MAC:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan maklumat tular mengenai tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) di media sosial dan menegaskan ia tidak benar.
SPR dalam kenyataan di Facebook menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan yang mengelirukan termasuk maklumat yang tidak mempunyai sumber sah atau telah dimanipulasi.
“Orang ramai diminta mengelakkan daripada menyebarkan kandungan yang mengelirukan, konteks yang tidak benar, sumber kandungan yang samar serta kandungan atau imej yang dimanipulasi atau direka,” menurut kenyataan itu.
Maklumat rasmi berkaitan pilihan raya hanya akan diumumkan oleh SPR melalui platform rasmi termasuk laman sesawang dan media sosial agensi berkenaan.








