SHAH ALAM, 13 MAC: Seorang wanita tempatan berusia 73 tahun dan anak lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP) Klang atas pertuduhan memperdagangkan dua warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa.
Kedua-dua tertuduh didakwa pada 9 Mac lalu mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan pasangan suami isteri warga Indonesia itu didakwa dieksploitasi sebagai pembantu rumah.
"Kedua-dua tertuduh disyaki tidak membayar gaji kepada pasangan berkenaan sepanjang tempoh 15 tahun mereka bekerja di bawah seliaan tertuduh.
"Tindakan ini dipercayai mempunyai unsur eksploitasi kerja paksa," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah.
Semasa prosiding, kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela.
Pihak pendakwaan daripada JIM memohon jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh, namun mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 13 April depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi tujuan sebutan lanjut.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
JIM turut menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras sebarang bentuk pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670]," katanya.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel urusetia_p@imi.gov.my," katanya.








