Dera pembantu rumah, wanita dan anak lelaki ditahan

8 Dis 2025, 8:24 AM
Dera pembantu rumah, wanita dan anak lelaki ditahan

SHAH ALAM, 8 DIS: Polis menahan seorang wanita dan anak lelakinya kerana disyaki mendera pembantu rumah warga tempatan di Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata suspek warga tempatan berusia 57 dan 30 tahun itu direman sehingga 11 Disember bagi membantu siasatan.

“Mangsa berusia 22 tahun bekerja di rumah suspek sejak September. Mangsa ketika ini ditempatkan di rumah perlindungan.

"Wanita itu stabil dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka pada beberapa bahagian badan selain melecur pada lengan. Mangsa juga mendakwa tidak dibayar gaji sepanjang bekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata mangsa membuat laporan pada jam 8.38 malam Sabtu, selepas dapat melarikan diri ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12 dan 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Ikhwanizam Ismail menerusi talian 019-600 0468 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-6126 2222.