SHAH ALAM, 12 NOV: Pembantu rumah yang dipercayai mencederakan dua beranak termasuk seorang daripadanya putus ibu jari tangan kiri dalam pergaduhan di sebuah rumah dua tingkat di KotaSAS, Kuantan, Pahang semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mad Daud berkata reman dikeluarkan Majistret Wahidah Zainal Abidin.
Beliau berkata, perintah reman dibaca di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, jam 12 tengah hari tadi, lapor Berita Harian.
"Suspek masih dirawat di HTAA dan memerlukan pembedahan kerana terdapat kecederaan di tangan kiri akibat kesan luka yang dalam.
"Keadaan mangsa stabil dan keluar hospital semalam manakala anaknya tidak stabil kerana baharu sahaja melakukan pembedahan di sebuah hospital swasta dan masih belum sedarkan diri," katanya.
Beliau berkata, siasatan ke atas pembantu rumah berusia 44 tahun itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
"Suspek direman tujuh hari sehingga 18 November ini," katanya.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam, dua beranak cedera, termasuk seorang daripadanya putus ibu jari tangan kiri dalam pergaduhan dengan pembantu rumah warga asing yang menggunakan pisau pemotong daging .
Dua mangsa berkenaan ialah wanita berusia 57 tahun yang juga majikan bersama anak lelakinya berusia 28 tahun.
Akibat pergaduhan itu, wanita berkenaan mengalami luka di kepala dan ibu jari tangan kiri manakala anak lelakinya putus ibu jari tangan kiri, luka di kepala dan kaki.
Suspek mengalami kesan kelar di pergelangan tangan kiri kerana cubaan membunuh diri.




