Dua pasangan suami isteri diberkas selepas video pukul pembantu rumah tular

14 Jun 2026, 5:54 AM
Dua pasangan suami isteri diberkas selepas video pukul pembantu rumah tular

ISKANDAR PUTERI, 14 JUN: Dua pasangan suami isteri diberkas semalam selepas video mereka dipercayai memukul pembantu rumah warga Indonesia tular di media sosial.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kesemua suspek berusia 30 hingga 34 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Johor dekat Tampoi, di sini pada 7.30 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kedua-dua pasangan itu tinggal serumah manakala suspek wanita adalah adik-beradik.

“Kejadian pukul itu disyaki membabitkan tiga pembantu rumah dan dipercayai berlaku pada 26 Julai tahun lepas.

"Video tersebut dirakam oleh seorang daripada mangsa, namun baru ditularkan di media sosial (semalam). Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga pembantu rumah berusia sekitar 20-an itu dipercayai melarikan diri namun masih berada di negara ini.

Ab Rahaman berkata pihaknya turut merampas telefon bimbit, pakaian suspek, satu kamera litar tertutup dan dua pasport pembantu rumah berkenaan, manakala kesemua suspek yang didapati negatif dadah serta tiada rekod lampau direman sehari.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.