SHAH ALAM, 13 MAC: Penduduk sekitar Rawang digalakkan menyumbangkan komputer riba lama bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan kemudahan peranti untuk pembelajaran.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata inisiatif menerusi program PinjamGajet itu bertujuan membaiki serta menaik taraf komputer riba terpakai sebelum dipinjamkan kepada pelajar yang memerlukan.
“Komputer riba yang telah dibaik pulih boleh dipinjam oleh pelajar dengan kadar sewaan serendah RM10 sebulan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menurut beliau, Pusat Khidmat DUN Rawang turut dijadikan salah satu lokasi pengumpulan bagi memudahkan penduduk menyumbangkan komputer riba lama mereka.
Setiap komputer riba yang disumbangkan akan direkod dan boleh dijejaki melalui sistem khas, membolehkan penyumbang mengetahui kepada siapa peranti berkenaan disalurkan.
Inisiatif itu juga bertujuan mengurangkan pembaziran peranti elektronik selain membantu memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir dalam pembelajaran digital.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mendaftar untuk menyumbang komputer riba boleh melayari laman sesawang rasmi program di https://pinjamgajet.ayuhmalaysia.org/








