29 bakal jemaah haji Selangor terima sumbangan RM1,000 melalui TIJARI

12 Mac 2026, 1:33 PM
29 bakal jemaah haji Selangor terima sumbangan RM1,000 melalui TIJARI
29 bakal jemaah haji Selangor terima sumbangan RM1,000 melalui TIJARI
29 bakal jemaah haji Selangor terima sumbangan RM1,000 melalui TIJARI

SHAH ALAM, 12 MAC: Seramai 29 bakal jemaah haji Muassasah menerima sumbangan wang saku RM1,000 setiap seorang bagi membantu persiapan menunaikan ibadah di Tanah Suci tahun ini.

Sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM29,000 itu disampaikan dalam Majlis Penyerahan Dana Ihya’ Ramadan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) yang disempurnakan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

“TIJARI merupakan kesinambungan kepada kekuatan kewangan Islam selain zakat dan wakaf. Apabila semua instrumen ini digabungkan, kita dapat membantu lebih banyak pihak dalam pelbagai aspek,” katanya kepada media di Dewan Sakinah, Bangunan Sultan Idris Shah, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemui media selepas Majlis Penyerahan Dana Ihya’ Ramadan 2026 di Shah Alam pada 12 Mac 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata bantuan melalui TIJARI merupakan sebahagian usaha memperkukuh kebajikan umat Islam melalui pelbagai bentuk sokongan kepada masyarakat.

Insentif berkenaan bertujuan membantu bakal jemaah menampung sebahagian perbelanjaan sepanjang berada di Tanah Suci selain sebagai tanda sokongan kepada mereka yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima.

Kerajaan Selangor sebelum ini memperuntukkan RM9 juta bagi Insentif Haji Muassasah 2026 yang memanfaatkan kira-kira 6,000 bakal jemaah dari negeri ini dengan bantuan RM1,500 setiap seorang.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan bakal jemaah selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.