SHAH ALAM, 12 MAC: Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) menyalurkan dana berjumlah RM228,200 kepada institusi pendidikan, masjid, surau dan persatuan di negeri ini bagi melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan sempena Ramadan tahun ini.
Dana berkenaan disampaikan dalam Majlis Penyerahan Dana Ihya’ Ramadan 2026 yang disempurnakan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad di Dewan Sakinah, Bangunan Sultan Idris Shah, di sini hari ini.
Mohd Shahzihan berkata TIJARI adalah instrumen kewangan Islam yang melengkapi peranan zakat dan wakaf dalam membantu kesejahteraan umat Islam melalui pelbagai bentuk sokongan kepada institusi masyarakat.
Menurutnya, gabungan pelbagai instrumen kewangan Islam itu mampu memperkukuh usaha membantu lebih ramai pihak dalam pelbagai aspek pembangunan umat.
“TIJARI merupakan kesinambungan kepada kekuatan kewangan Islam selain zakat dan wakaf. Apabila semua instrumen ini digabungkan, kita dapat membantu lebih banyak pihak dalam pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata, prinsip pengurusan infak ialah dana diterima masjid perlu dimanfaatkan untuk masyarakat, bukan disimpan tanpa digunakan bagi tujuan pengimarahan institusi Islam.
Jelasnya, bantuan kepada masjid dan surau disalurkan berdasarkan keperluan termasuk pengimarahan institusi itu serta kos operasi seperti utiliti.
“Jika sesebuah masjid mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kos operasi sehingga sekitar 10 bulan, biasanya kita tidak akan membantu. Namun jika simpanan mereka tidak mencukupi, barulah kita mempertimbangkan bantuan,” katanya.
Pada majlis sama, TIJARI turut menyalurkan RM188,116.50 bagi kerja baik pulih beberapa masjid dan surau terpilih termasuk Masjid Jamiul Muhammadiyah Kampung Kuantan, Surau Darul Islam, Masjid Nurul Iman Rawang, Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah serta Masjid Telok Menegon.









