JAIS serah hasil siasatan kes lelaki mengaku Rasul kepada pendakwa raya

12 Mac 2026, 7:29 AM
JAIS serah hasil siasatan kes lelaki mengaku Rasul kepada pendakwa raya

SHAH ALAM, 15 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerahkan hasil siasatan kes melibatkan empat individu, termasuk seorang lelaki warga emas yang didakwa mengaku sebagai Rasul di Rawang kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan pendakwa raya bagi melengkapkan keperluan siasatan sebelum sebarang tindakan perundangan diambil.

“Kita sudah bawa hasil siasatan kepada pihak pendakwaan untuk persetujuan semua bagi kes empat individu yang ditahan itu.

“Sekarang dalam proses perbincangan dengan pendakwa raya, termasuk keperluan maklumat tambahan yang diperlukan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Penyerahan Dana Sempena Ihya' Ramadan 2026 di sini, hari ini.

Pada 22 Februari lalu, Mohd Shahzihan mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 65 tahun yang disyaki mengaku sebagai Rasul bersama tiga individu lain termasuk seorang wanita di sebuah premis di Rawang.

Empat individu terbabit ditahan oleh anggota Ibu Pejabat JAIS selepas siasatan dijalankan susulan satu aduan yang diterima pada 9 Februari lalu.

Berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 65 tahun itu mendakwa kepada pengikutnya bahawa dia pernah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang, manakala bertemu Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam.

Lelaki itu juga mendakwa pertemuan dengan Rasul berlaku dua hingga tiga kali seminggu, dan kejadian itu dikatakan berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara di negara ini.

Pengikut individu terbabit pula mendakwa lelaki berkenaan merupakan utusan Allah, malah segala perlakuannya dianggap sebagai suruhan Allah termasuk tidak perlu menunaikan solat atau berpuasa sekiranya berasa letih atau uzur.

Terdahulu, Mohd Shahzihan yang juga Pengerusi TIJARI menyempurnakan penyerahan dana Ihya' Ramadan kepada penerima terdiri daripada institusi pendidikan, masjid, surau dan persatuan di sekitar Selangor dengan jumlah peruntukan RM228,200 bagi tahun ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.