SHAH ALAM, 12 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menangkap tiga ekor lembu yang berkeliaran di beberapa lokasi sekitar Banting susulan aduan orang awam pada 7 Mac lalu.
MPKL memaklumkan operasi bermula dari jam 3 pagi hingga 5 pagi itu dijalankan bagi memastikan keselamatan orang ramai serta mengelakkan risiko kemalangan jalan raya.
Menurutnya, operasi tersebut melibatkan 10 anggota penguat kuasa dan dijalankan di beberapa lokasi termasuk di hadapan Padang Awam Chodoi, Kampung Bandar; Jalan Permatang Pasir, Kampung Permatang Pasir serta Jalan Ladang, Kampung Bandar.
“Hasil operasi tersebut, sebanyak tiga ekor lembu berjaya ditangkap,” menurut kenyataan itu.
MPKL memaklumkan tindakan tersebut dilaksanakan di bawah Peruntukan 5(1), Enakmen Mengawal Lembu Kerbau MDKL 1971 iaitu kesalahan memelihara atau membiarkan lembu atau kerbau berkeliaran di kawasan larangan.
“Sementara itu, tindakan tangkapan dibuat mengikut Peruntukan 4(1)(a) enakmen yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, MPKL mengingatkan pemilik ternakan supaya memastikan haiwan peliharaan mereka sentiasa berada dalam kawalan dan tidak dilepaskan berkeliaran bagi menjamin keselamatan masyarakat setempat.








