MBDK sita premis jual gas petroleum cecair tanpa lesen

11 Mac 2026, 8:49 AM
MBDK sita premis jual gas petroleum cecair tanpa lesen

SHAH ALAM, 11 MAC: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyita sebuah premis perniagaan di Kawasan Perindustrian Pulau Indah selepas didapati menjual gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram tanpa lesen sah.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan pemeriksaan di premis pasar mini di Jalan Sungai Pinang 5/5 mendapati aktiviti penjualan LPG dijalankan tanpa lesen walaupun premis tersebut memiliki lesen pasar mini yang sah.

"Meskipun premis mempunyai lesen pasar mini yang sah, pemeriksaan mendapati aktiviti penjualan Gas Petroleum Cecair (LPG) 14kg dilakukan tanpa lesen.

“Selain itu, didapati tiada pekerja tempatan bertugas semasa pemeriksaan," menurut kenyataan di Facebook.

Sitaan dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MBDK) 2007, selain satu kompaun di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Dalam operasi sama, pemeriksaan turut dijalankan di sebuah premis di Bandar Armada Putra, Pulau Indah di Jalan Sungai Chandong 8 susulan aduan orang awam.

"Premis menjalankan aktiviti kedai gunting rambut dan aksesori telekomunikasi tanpa lesen perniagaan.

“Didapati premis dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing tanpa kehadiran warga tempatan," menurut kenyataan sama.

Bagi kes berkenaan, MBDK mengambil tindakan dua sitaan iaitu di bawah UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MBDK) 2013 serta UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MBDK) 2007.

MBDK menegaskan pihaknya memandang serius terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen atau melanggar syarat aktiviti yang telah ditetapkan, khususnya melibatkan penglibatan warga asing.

"Pemantauan berterusan akan dipergiat bagi memastikan kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam terpelihara," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.