SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak 4,569 projek pelaburan bernilai RM185.04 bilion diluluskan di Selangor bagi tempoh 2024 hingga 2025.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata projek tersebut merangkumi pelbagai sektor utama termasuk pembuatan, pembinaan, pertanian, perkhidmatan serta perkilangan.
“Daripada jumlah pelaburan tersebut, sebanyak RM124.09 bilion adalah pelaburan tempatan atau pelabur dalam negeri, dan sebanyak RM60.96 bilion merupakan pelaburan asing atau pelabur luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Leong Tuck Chee berhubung jumlah pelaburan bagi 2024 dan 2025 pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan tiada kilang haram dikenal pasti beroperasi di kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang.
Beliau berkata sebanyak 10 Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) telah dibanci dan direkodkan dalam inventori, dengan tujuh daripadanya telah diputihkan melalui kelulusan Kebenaran Merancang (KM).

“Baki sebanyak tiga kilang KTK yang masih belum menjalani proses pemutihan kini dalam tindakan penguatkuasaan selaras dengan Akta 172. Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berkala di kawasan tersebut.
“Pemantauan secara berkala dijalankan di Bandar Sultan Suleiman dan kawasan-kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) oleh pegawai kawasan bersama anggota penguat kuasa,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan ADN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari berhubung statistik kilang haram di kawasan tersebut serta tindakan penguatkuasaan yang diambil.
Dalam pada itu, Suee Lim berkata MBDK turut menubuhkan Pasukan Khas Tindakan Guna Sama (JForce) yang terdiri daripada jabatan teknikal dan penguatkuasaan bagi memantau premis industri tidak sah.
Menurut ADN Sekinchan itu, pemantauan dijalankan berdasarkan teras perkhidmatan perbandaran merangkumi kawalan kebersihan dan kesihatan, kawalan pelesenan dan penguatkuasaan serta kawalan pembangunan.
“Selain itu, pasukan ini akan mengambil tindakan secara holistik oleh jabatan terlibat ke atas premis yang didapati melanggar peruntukan kesalahan dan tindakan kompaun yang dikeluarkan adalah tanpa rayuan,” katanya.








