SHAH ALAM, 13 APRIL: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama agensi berkaitan giat menaik taraf sistem saliran perumahan serta longkang monsun di Taman Melawis, Klang.
Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBDK, Mohd Zaidi Zainal berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang bagi menangani masalah banjir di kawasan tersebut.
“Matlamat MBDK adalah meningkatkan kapasiti saliran di kawasan berisiko tinggi serta menambah baik rangkaian saliran perumahan bagi menangani hujan lebat,” katanya seperti dilapor TheStar.
Sementara itu, jurutera daerah JPS Klang Mohamad Hafiz Hassan berkata pembinaan pembetung lintasan sedang dijalankan berhampiran landasan KTM Bhd.
“Projek bernilai RM16.6 juta ini akan mengalihkan air hujan dari longkang monsun di sepanjang landasan kereta api yang bersempadan dengan Taman Melawis ke Lorong Sembilang 8E (bertentangan dengan Jabatan Kerja Raya Klang),” katanya.
Menurutnya, pembetung lintasan sepanjang 20 meter itu dibina dari Jalan Besi ke pembetung di Lorong Sembilang 8E.
“Kontraktor menganggarkan kerja-kerja saliran Taman Melawis akan siap pada bulan Jun. Kini ia telah mencapai 90 peratus siap.
“Kerja-kerja yang melibatkan pelebaran dan pendalaman longkang, mikroterowong di bawah landasan kereta api, pembinaan takungan pam bawah tanah dan rumah pam, pemasangan pam tenggelam serta lanjutan tembok banjir kini berada di peringkat akhir,” katanya.
Mohamad Hafiz berkata di kawasan yang sering berlaku takungan air selepas hujan, JPS akan menggunakan pam berkapasiti tinggi dengan peralatan khas bagi mempercepatkan pengaliran air.
“Pelaksanaan 13 projek RTB di daerah Klang direka sebagai penyelesaian yang menyeluruh, mampan dan berimpak tinggi bagi mengawal serta mengurangkan risiko bencana banjir,” katanya.








