SHAH ALAM, 10 MAC: Masjid Kampung Sementa, Klang menerima sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM30,000 daripada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bagi pemasangan sistem penyaman udara di masjid berkenaan.
Menurut PWS, inisiatif itu bertujuan meningkatkan keselesaan jemaah ketika menunaikan ibadah serta menyertai pelbagai aktiviti pengimarahan masjid.
“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan PWS dalam memperkasa pembangunan dan penyelenggaraan institusi masjid melalui dana wakaf yang diamanahkan oleh para pewakaf.
“Penambahbaikan kemudahan ini diharapkan dapat memberi keselesaan lebih baik kepada jemaah khususnya ketika menunaikan solat berjemaah dan menyertai aktiviti di masjid,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Penyerahan sumbangan disempurnakan Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan PWS, Ibnu Hubain Abdul, yang menyerahkannya kepada Pengurus Masjid Kampung Sementa, Ahmad Shauqie Zainal Abidin.
Dalam masa sama, PWS turut merakamkan penghargaan kepada para pewakaf yang terus menyokong usaha memartabatkan institusi agama melalui ibadah wakaf agar manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secara berterusan.
Orang ramai yang ingin menyumbang wakaf tunai menerusi pautan fpx.wakafselangor.gov.my atau infaqpay.my/go/wakafselangor








