SHAH ALAM, 10 MAC: Seramai 650 individu daripada keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting menerima baucar Program Jom Shopping Aidilfitri.
Wakil rakyatnya, V Papparaidu Veraman berkata agihan baucar itu melibatkan peruntukan RM130,000 di Pasar Raya Econsave, Banting.
“Program Jom Shopping Perayaan Aidilfitri DUN Banting diteruskan lagi pada tahun ini sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Seramai 650 penerima telah menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang bagi meringankan beban perbelanjaan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Papparaidu yang juga EXCO Pembasmian Kemiskinan memaklumkan sebanyak 38,400 baucar Program Jom Shopping Perayaan Hari Raya Aidilfitri akan diagihkan kepada penerima layak tahun ini, membabitkan peruntukan RM7.68 juta.
Beliau berkata pengagihan baucar tersebut melibatkan 56 DUN di seluruh Selangor bagi membantu golongan sasar membuat persiapan menjelang perayaan.
Menurutnya, tempoh penggunaan baucar turut dilanjutkan sehingga 20 Mac, berbanding tarikh asal 18 Mac, bagi memberi ruang kepada masyarakat Islam membuat persiapan dan berbelanja menjelang Hari Raya.








