Caj RM3 program larian di Sabak Bernam untuk selenggara kemudahan awam

9 Mac 2026, 8:45 AM
Caj RM3 program larian di Sabak Bernam untuk selenggara kemudahan awam

SHAH ALAM, 9 MAC: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menjelaskan caj RM3 bagi setiap penyertaan program larian di daerah itu diperkenalkan bagi membantu menampung kos pengurusan acara serta penyelenggaraan kemudahan awam.

Yang Dipertua MDSB, Awaluddin Zakaria berkata caj minimum tersebut dilaksanakan sejak Ogos 2025 dan terpakai kepada semua penganjur termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi yang ingin mengadakan program larian di daerah berkenaan.

“Caj minimum RM3 ini bertujuan membantu penyelenggaraan infrastruktur sukan dan kemudahan awam yang digunakan sepanjang penganjuran program.

“Selain itu, kutipan tersebut juga dapat digunakan bagi menampung sebahagian kos pengurusan asas serta memastikan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Awaluddin berkata pelaksanaan caj tersebut telah dibincang dan diluluskan melalui beberapa mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Kemasyarakatan Bilangan 4 Tahun 2025 serta Mesyuarat Majlis Daerah Sabak Bernam Bilangan 8 Tahun 2025, selain turut dibentangkan di peringkat negeri.

Menurutnya, kutipan tersebut turut membantu menampung kos logistik asas seperti penyediaan air mineral, bahan percetakan, pelekat serta keperluan teknikal ringan semasa program berlangsung.

"Penganjur juga diminta memaklumkan kepada urus setia di MDSB bagi menyelaras tarikh dan masa penganjuran program supaya tidak berlaku pertindihan acara pada hari sama," jelas beliau.

Beliau berkata pelaksanaan caj berkenaan juga selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan mengenakan bayaran berkaitan kemudahan atau perkhidmatan awam yang disediakan.

Selain itu, katanya ia turut mematuhi arahan Perbendaharaan Malaysia serta Tatacara Pengurusan Wang Awam yang membolehkan agensi kerajaan menjana sumber hasil tambahan secara sah bagi menampung kos pentadbiran serta pelaksanaan program sosial.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.