SHAH ALAM, 9 MAC: Tourism Selangor mengetengahkan tarikan geopark negeri ini serta memperkenalkan pakej pelancongan baharu ketika menyertai pameran pelancongan antarabangsa ITB Berlin 2026 di Jerman.
Penyertaan delegasi Selangor dalam pameran tersebut berlangsung di bawah pavilion Tourism Malaysia sebagai usaha mempromosikan produk pelancongan negeri ke pasaran Eropah sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2026.
Delegasi Selangor diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling yang mengetuai usaha mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan negeri kepada pemain industri pelancongan antarabangsa.
Sepanjang pameran berkenaan, Selangor turut menonjolkan geopark sebagai antara produk pelancongan berasaskan alam semula jadi yang unik kepada pelawat antarabangsa.
Delegasi berkenaan juga menghadiri Majlis Pelancaran Pavilion Malaysia yang disempurnakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Majlis tersebut turut dihadiri Duta Malaysia ke Jerman, Mohamad Razdan Jamil bersama wakil beberapa organisasi pelancongan negeri di Malaysia.

Dalam masa sama, Tourism Selangor memperkenalkan pakej pelancongan baharu dikenali sebagai “Selangor – Surprisingly Unique Experiences” hasil kerjasama dengan Dusky Leaf Adventures khusus bagi pasaran Eropah.
Pembentangan pakej tersebut disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Dusky Leaf Adventures, Kingston Khoo ketika sesi Evening Cocktails and Networking anjuran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
Sesi berkenaan menerima maklum balas positif daripada peserta industri pelancongan antarabangsa yang hadir pada program tersebut.
Selain itu, Tourism Selangor turut menganjurkan majlis makan malam rangkaian bersama rakan strategik pada 4 Mac lalu bagi mengukuhkan kerjasama serta meneroka peluang mempromosikan produk pelancongan Selangor di pasaran Eropah.
Delegasi tersebut juga dijemput mengadakan lawatan rasmi ke Abgeordnetenhaus von Berlin iaitu Parlimen Negeri Berlin bagi memperkukuh hubungan diplomatik serta mempromosikan inisiatif pelancongan Selangor kepada pihak berkepentingan antarabangsa.
Turut melawat reruai Tourism Selangor pada pameran berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Tourism Selangor memaklumkan penyertaan dalam ITB Berlin 2026 berjaya meningkatkan penglibatan bersama pemain industri pelancongan antarabangsa selain memperluas kesedaran terhadap produk pelancongan negeri termasuk tarikan geopark menjelang Tahun Melawat Selangor 2026.












