Tiang bendera Dataran Selangor cetusan ilham sultan, diiktiraf Malaysia Book of Records

8 Mac 2026, 3:35 AM
Tiang bendera Dataran Selangor cetusan ilham sultan, diiktiraf Malaysia Book of Records
Tiang bendera Dataran Selangor cetusan ilham sultan, diiktiraf Malaysia Book of Records
Tiang bendera Dataran Selangor cetusan ilham sultan, diiktiraf Malaysia Book of Records

SHAH ALAM, 8 MAC: Tiang bendera Dataran Selangor di Kelab Shah Alam di sini, adalah cetusan ilham Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 1 Disember 2023.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Baginda menzahirkan hasrat tersebut untuk menjadikan ia antara monumen kebanggaan Selangor di Bandar Raya Shah Alam.

“Patik ingin memohon perkenan memaklumkan kepada para hadirin bahawa pembinaan tiang bendera Dataran Selangor ini lahir daripada cetusan ilham dan titah DYMM Sultan sendiri.

“Baginda menzahirkan hasrat agar sebuah tiang bendera yang tinggi, ikonik dan bermaruah dibina sebagai mercu tanda kebanggaan Selangor di Bandar Raya Shah Alam.

“Kerajaan Negeri menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan kesetiaan serta menyediakan peruntukan yang diperlukan demi merealisasikan hasrat yang mulia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Upacara Mengibarkan Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor (The Selangor Square) yang disempurnakan Sultan Sharafuddin.

Amirudin berkata tiang bendera Dataran Selangor setinggi 120 meter itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai tertinggi di Asia Tenggara.

Menurutnya, projek berjumlah RM8.5 juta yang menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri dimulakan pada 10 September 2024 dan berjaya disiapkan pada 7 Mac 2026, iaitu enam hari lebih awal daripada tarikh siap kontrak yang ditetapkan.

“Pengiktirafan ini menjadi lambang kebanggaan rakyat Selangor serta membuktikan keupayaan kepakaran tempatan dalam menghasilkan struktur berskala besar yang memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti antarabangsa.

“Reka bentuk Dataran Selangor ini bukan sahaja menampilkan kemegahan fizikal malah mencerminkan jiwa serta identiti rakyat Selangor,” katanya.

Motif Bunga Tanjung Berkelopak Sembilan yang menghiasi dataran ini melambangkan sembilan daerah di Selangor yang bersatu di bawah satu panji.

Manakala, gabungan elemen flora dan geometri Islamik dalam pendekatan seni bina kontemporari menggambarkan warisan Melayu-Islam yang terus dipelihara seiring kemajuan negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.