SHAH ALAM, 20 SEPT: Bendera Selangor kembali berkibar di tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara setinggi 120 meter di Dataran Selangor selepas upacara menurunkan Jalur Gemilang, hari ini.
Kibaran bendera itu melambangkan kedaulatan, identiti serta kedudukan Selangor sebagai antara peneraju pembangunan di Malaysia.
Juruiring Tentera kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Kepten (K) Dato' Ahmad Ramli Kardi berkata idea pembinaan tiang berkenaan tercetus daripada inspirasi Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika melihat Tiang Ibu Pertiwi semasa lawatan ke Kuching, Sarawak.
Menurut beliau, titah Baginda kemudiannya diterjemahkan menerusi pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor.

“Tujuan pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor ini adalah untuk memupuk budaya menghormati bendera sebagai lambang penyatuan semua rakyat.
“Jadi, penurunan Jalur Gemilang dan seterusnya menaikkan bendera Selangor ini dibuat untuk melambangkan semangat patriotisme. Lagipun, di Selangor sendiri kurangnya bendera bersaiz besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada upacara menurunkan Jalur Gemilang dan mengibarkan bendera Selangor di Dataran Selangor, hari ini.
Ahmad Ramli turut menggalakkan orang ramai hadir ke lokasi berkenaan untuk melihat sendiri tiang bendera setinggi 120 meter itu.

Sementara itu, Arkitek Penguasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ar Wan Mohammad Norshah berkata reka bentuk tiang bendera berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh bahagian arkitek dan teknikal JKR Selangor tanpa melantik perunding luar.
Katanya, pembinaan tiang itu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai negeri pelopor dan berdaulat.
“Bendera yang dinaikkan bukan sekadar kain yang berkibar, tetapi mencerminkan nilai peribadi kita sebagai rakyat dan penghayatan kita sebagaimana kita menjunjung Rukun Negara,” katanya.










