SHAH ALAM, 8 MAC: Tiang bendera Dataran Selangor setinggi 120 meter bukan sahaja menjadi kebanggaan negeri, malah ia melambangkan kedaulatan, perpaduan rakyat serta kesetiaan padu kepada Institusi Diraja.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap Dataran Selangor akan menjadi ruang rakyat berkumpul dan berinteraksi yang menyatukan seluruh lapisan serta memupuk semangat perpaduan kaum.
“Penghargaan diberikan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor terhadap kepakaran dan komitmen dalam merealisasikan projek bersejarah ini.
“Juga kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan seluruh jentera Kerajaan Negeri yang telah memastikan pelaksanaan projek dan upacara pada hari ini berjalan dengan lancar dan penuh tertib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan Sempena Upacara Mengibarkan Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor di sini hari ini, yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Amirudin berkata bendera negeri yang berkibar di puncak tiang itu berukuran 15 meter x 30 meter dengan anggaran berat 50 kilogram, serta diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi.
Jelasnya, ia bagi memastikan ketahanan terhadap angin dan cuaca, sekali gus membolehkannya terus berkibar megah sebagai lambang kedaulatan negeri.
“Semoga kibaran bendera Selangor di puncak tiang yang gagah ini akan terus menjadi lambang kedaulatan, perpaduan dan kemajuan Selangor Darul Ehsan di bawah naungan DYMM Tuanku,” katanya.
Sebelum ini, tiang bendera di Kuching, Sarawak setinggi 99 meter memegang rekod tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara.
Bagaimanapun, kini tiang bendera Dataran Selangor mengatasi ketinggian tersebut sebanyak 21 meter, melambangkan tekad dan keberanian Selangor untuk terus meniti kemajuan.
Tapak tiang bendera terletak di atas bukit Kelab Shah Alam itu juga memberi kelebihan visual tambahan, menjadikan kehadirannya lebih menonjol dan dapat dilihat dari pelbagai arah di sekitar Shah Alam.









