Jalur Gemilang diperiksa teliti sebelum dikibar di tiang tertinggi Asia Tenggara

26 Ogos 2026, 7:31 AM
Jalur Gemilang diperiksa teliti sebelum dikibar di tiang tertinggi Asia Tenggara

SHAH ALAM, 26 OGOS: Bukan sekadar dikibarkan, setiap jalur dan bintang pada Jalur Gemilang diperiksa dengan teliti sebelum bendera berkenaan dinaikkan di tiang setinggi 120 meter di Dataran Selangor di sini hari ini.

Juruiring Tentera kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Kepten (K) Dato' Ahmad Ramli berkata ketelitian itu susulan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mahu bendera berkenaan dipastikan sempurna sebelum upacara pengibaran.

“Sultan menitahkan untuk periksa bendera ini secara fizikal termasuk bilangan dan kedudukan jalur, bilangan dan bintang supaya betul, tidak terbalik, tidak salah dan tidak ada cacat celanya,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengibaran Jalur Gemilang di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor hari ini.

Menurutnya, Sultan Selangor memperkenankan Jalur Gemilang dikibarkan di tiang bendera tertinggi Asia Tenggara dari 26 Ogos hingga 17 September sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69.

Bendera berkenaan dinaikkan oleh pasukan Bintara Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam upacara yang turut disaksikan lebih 300 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dari sembilan daerah di Selangor.

Ahmad Ramli berkata konsep Colors Party digunakan dalam upacara berkenaan, mengikut tradisi TLDM ketika menaikkan panji-panji di pangkalan atau kapal.

“Jumlah anggota terlibat fleksibel dan tiada bilangan tetap, tetapi untuk acara kali ini saya mengambil template tradisi Tentera Laut iaitu upacara mengibarkan panji-panji Tentera Laut yang setiap hari dilakukan di pangkalan atau kapal-kapal TLDM,” katanya.

Upacara menaikkan Jalur Gemilang di Tiang Bendera Tertinggi Malaysia oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan Orang Besar Istana dan warga kerja Jabatan Kerja Raya (JKR) di Dataran Selangor, Kelab Shah Alam pada 26 Ogos 2026. Foto ZAIDATUL INSYIRAH/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Pengarah JKR Selangor, Ir Shukri Ishak berkata persiapan teknikal bagi upacara tersebut dilakukan kira-kira dua minggu lebih awal bagi memastikan semua aspek penyelenggaraan berada pada tahap terbaik.

Katanya, pemeriksaan turut dibuat terhadap sistem pam dan ketahanan tali kabel yang digunakan untuk menaikkan Jalur Gemilang di tiang berkenaan.

“Alhamdulillah, hari ini kita telah berjaya menaikkan bendera Malaysia tersebut dan kita harap bendera ini dapat berkibar megah di Dataran Selangor.

“Kibaran Jalur Gemilang ini diharap akan terus menyemarakkan semangat nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan penduduk di Selangor serta Malaysia amnya,” katanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, Sultan Selangor bertitah Jalur Gemilang merupakan simbol perpaduan yang dimiliki seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang.

Warga kerja Jabatan Kerja Raya (JKR) mengibarkan Jalur Gemilang selepas upacara menaikkan bendera Malaysia di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor, Kelab Shah Alam pada 26 Ogos 2026. Foto ZAIDATUL INSYIRAH/MEDIA SELANGOR

Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa nilai kemerdekaan bukan sekadar pada sambutan atau kibaran bendera, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui usaha mempertahankan keamanan, keharmonian dan perpaduan negara.

Baginda menyeru rakyat menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai kesempatan untuk memperkukuh perpaduan, solidariti dan sikap saling menghormati.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.