SHAH ALAM, 8 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menyempurnakan Upacara Mengibarkan Bendera Negeri Selangor sempena Pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor, Kelab Shah Alam di sini, hari ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga berkenan menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi tiang bendera di Dataran Selangor sebagai yang tertinggi di Asia Tenggara kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Baginda bertitah tiang bendera yang siap dibina dengan ketinggian 120 meter di Dataran Selangor adalah satu lagi simbol kebanggaan negeri serta mercu tanda baharu Bandar Raya Shah Alam.
“Beta bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah izin-Nya maka satu lagi sejarah tercipta di Selangor hari ini.
“Ketika mengilhamkan pembinaannya, Beta amat berharap agar tiang bendera ini akan menjadi lambang perpaduan rakyat Selangor, sekali gus menyemarakkan rasa hormat kepada bendera dan semangat cintakan negeri ini.
“Beta pilih tarikh 8 Mac 2026 sebagai tarikh perasmian tiang bendera ini adalah bersempena Hari Keputeraan Ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Almarhum adalah tokoh terpenting dalam membangunkan Shah Alam dan mengisytiharkannya sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978,” titah Baginda.
Baginda juga berkenan bendera Malaysia dikibarkan di puncak tiang bendera tersebut selama 10 hari semasa sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun, sebagai simbol patriotisme dan jalinan perpaduan di peringkat kebangsaan antara Selangor dengan negeri-negeri dalam Malaysia.
Turut berangkat pada majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dengan diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Upacara menaikkan bendera Selangor di tiang dimulakan dengan diiringi tiupan rouse dan deklamasi sajak.
Projek Pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor di Kelab Shah Alam ini merupakan satu inisiatif bersejarah yang lahir daripada cetusan ilham dan titah Sultan Selangor.
Pada 6 Januari 2026, Sultan Sharafuddin berkenan menamakan projek ini secara rasmi sebagai "Dataran Selangor" atau "The Selangor Square" satu nama yang mencerminkan keagungan dan identiti negeri Selangor Darul Ehsan.








