Dakwaan lantik pegawai bukan Islam tidak benar, EXCO Agama hantar LOD

7 Mac 2026, 2:00 PM
Dakwaan lantik pegawai bukan Islam tidak benar, EXCO Agama hantar LOD

PETALING JAYA, 7 MAC: EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah mengesahkan peguamnya sudah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada individu yang menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung pelantikan pegawai bukan Islam dalam pasukannya.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas masih terdapat satu hingga dua akaun media sosial yang belum memadamkan hantaran berkenaan walaupun amaran sudah diberikan sebelum ini.

“Saya telah memberi amaran kepada individu yang memuat naik kandungan tersebut supaya menurunkan hantaran berkenaan dalam tempoh 24 jam. Namun, masih terdapat satu hingga dua akaun media sosial yang belum memadamkan hantaran berkenaan.

“Sehubungan itu, peguam saya telah menghantar notis tuntutan kepada individu terlibat dan tindakan susulan akan dipertimbangkan selepas itu,” katanya kepada Media Selangor.

Pada masa sama, Mohammad Fahmi menafikan dakwaan yang tular di media sosial itu dan menjelaskan individu yang dimaksudkan bukan kakitangan pejabatnya.

Tegasnya, beliau juga tidak pernah membuat lantikan seperti yang didakwa.

Beliau turut menggesa semua pihak menghentikan penyebaran fitnah dan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial.

Menurutnya, penyebaran dakwaan tidak benar bukan sahaja mengelirukan masyarakat malah boleh mencemarkan imej individu serta kredibiliti Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, tular satu hantaran berbentuk poster mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada seorang individu bukan Islam atas pelantikan sebagai Setiausaha Kanan kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor.

Hantaran tersebut mencetuskan kekeliruan dan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.