Peserta teruja khatam al-Quran bersama Tengku Permaisuri Selangor

7 Mac 2026, 10:30 AM
Peserta teruja khatam al-Quran bersama Tengku Permaisuri Selangor
Peserta teruja khatam al-Quran bersama Tengku Permaisuri Selangor
Peserta teruja khatam al-Quran bersama Tengku Permaisuri Selangor
Peserta teruja khatam al-Quran bersama Tengku Permaisuri Selangor
Peserta teruja khatam al-Quran bersama Tengku Permaisuri Selangor

SEPANG, 7 MAC: Peserta Majlis Khatam al-Quran Wanita Negeri Selangor teruja apabila dapat menyempurnakan bacaan al-Quran bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA di sini, hari ini.

Puteri Zulaikha Mohd Firdaus, 14, berkata kesempatan tersebut disifatkan sebagai sangat bermakna terutamanya apabila turut sama mengalunkan bacaan al-Quran bersama Tengku Permaisuri Hajah Norashikin pada Hari Nuzul al-Quran.

“Hari ini saya datang bersama ibu. Rasa gembira dapat bertadarus beramai-ramai hari ini. Teruja juga dapat bertemu Tengku Permaisuri Selangor, sebelum ini dapat lihat di televisyen sahaja.

Pelajar SMK Dengkil, Puteri Zulaikha Mohd Firdaus, 14. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Tadi nampak Baginda, rasa seronok sangat. Sebelum ini saya ada juga sertai majlis khatam al-Quran tetapi secara kecil-kecilan di majlis daerah sahaja,” katanya yang tinggal di Dengkil.

Warga emas, Faridah Ahmad, 68, meluahkan rasa gembira dan teruja apabila julung kali menyertai majlis khatam al-Quran secara besar-besaran yang diadakan di luar daerah tempat tinggalnya.

Beliau yang hadir bersama 10 lagi rakannya dari Petaling Jaya juga berharap program berkenaan dapat diadakan setiap tahun sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai peserta wanita dari seluruh Selangor.

Suri rumah, Faridah Ahmad, 68. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Seronok, saya tidak pernah sertai majlis besar seperti ini. Memang setiap tahun saya akan sertai majlis khatam al-Quran, tetapi tahun ini lebih besar dan meriah, berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.

Bagi Rosnah Ismail, 62, beliau gembira dapat berkumpul bersama rakan-rakan selain berjanji untuk menyertai serta mengimarahkan majlis sama pada setiap tahun.

“Saya selalu ikut majlis khatam al-Quran tetapi tahun ini istimewa sedikit kerana tahun ini datang ke masjid yang indah seperti ini, gembira sangat. Harap program ini diteruskan lagi, dan saya pasti akan sertai lagi,” katanya.

Suri rumah, Rosnah Ismail , 62. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Khatam al-Quran Wanita Negeri Selangor yang disertai lebih 1,000 wanita dari seluruh Selangor.

Keberangkatan tiba Baginda disambut isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Faridah Abdul Samad.

Majlis yang julung kali diadakan di luar Shah Alam dan memasuki penganjuran kali kelima itu dianjurkan oleh WBS dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Sepang.

Peserta membaca al-Quran dalam Majlis Khatam al-Quran Wanita Negeri Selangor di Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang pada 7 Mac 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELNAGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.