SHAH ALAM, 29 NOV: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat melepaskan lebih 10,000 peserta Larian International Songket Run 6.0 (ISR 6.0) anjuran Management Science University (MSU), semalam.
Menurut kenyataan Selangor Royal Office menerusi Facebook, keberangkatan Baginda disambut Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid serta Naib Canselor MSU, Profesor Datuk Dr. Junainah Abd. Hamid.
Edisi keenam acara itu menawarkan tiga kategori iaitu larian santai sejauh lima kilometer, larian kompetitif 10 kilometer dan Songcat Run yang meliputi sekitar Seksyen 13, dengan kampus MSU sebagai lokasi pelepasan dan penamat.
Menurut kenyataan itu, pelepasan serentak turut diadakan di kampus Kolej MSU di Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Kuala Terengganu.
Bagi edisi 2026, ISR 6.0 menerima pengiktirafan ASEAN Records dan Asia Records menerusi kategori ‘The First and Largest Simultaneous Songket Dedicated Run Across Multiple Campuses and Venues’.
Penganjuran acara itu bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah memperkenalkan warisan seni tenunan songket kepada generasi muda menerusi pendekatan moden.










