Tengku Permaisuri santuni lebih 1,000 peserta Khatam al-Quran Wanita Selangor

7 Mac 2026, 7:41 AM
Tengku Permaisuri santuni lebih 1,000 peserta Khatam al-Quran Wanita Selangor
Tengku Permaisuri santuni lebih 1,000 peserta Khatam al-Quran Wanita Selangor
Tengku Permaisuri santuni lebih 1,000 peserta Khatam al-Quran Wanita Selangor
Tengku Permaisuri santuni lebih 1,000 peserta Khatam al-Quran Wanita Selangor

SEPANG, 7 MAC: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Khatam al-Quran Wanita Selangor di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; serta Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Faridah Abdul Samad.

Majlis anjuran WBS dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Sepang itu dimulakan dengan bacaan 30 juzuk al-Quran oleh lebih 1,000 peserta sebelum diteruskan dengan sesi tazkirah yang disampaikan Ustazah Nazirah Abu Bakar dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Program kemudiannya disusuli majlis khatam al-Quran yang dipimpin Ustazah Nor Ruzana Natilah Jaafar serta persembahan marhaban bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Nuzul al-Quran yang diraikan hari ini.

Wakil Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Penolong Pengurus Besar MBI, Siti Nur Hazwani Md Sabudin menyerahkan sumbangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Wanita Berdaya Selangor, Siti Faridah Abdul Samad bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhamad dalam Majlis Khatam Al-Quran Wanita Negeri Selangor di Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang pada 7 Mac 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Dalam majlis sama, Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan cek cura berjumlah RM100,000 daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) kepada WBS bagi membantu golongan ibu tunggal.

Sementara itu, Siti Faridah berkata penganjuran kali kelima majlis khatam al-Quran itu julung kali diadakan di luar Shah Alam dengan penyertaan lebih besar iaitu seramai 1,200 peserta dari seluruh Selangor.

“Alhamdulillah empat tahun sebelum ini kita adakan di Shah Alam, dan tahun ini kita mula untuk keluar dan kita mulakan di Sepang. Apabila kita keluar, tahun ini penyertaan adalah dua kali ganda peserta berbanding 600 lebih sebelum ini.

“Tahun ini juga kita dapat kerjasama baik daripada pihak masjid dan juga Pejabat Ahli Parlimen Sepang. Insya-Allah, Tengku Permaisuri juga mahu program ini diadakan secara tahunan dan kita bergilir-gilir adakan di daerah lain pula,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.