KLANG, 7 MAC: Pusat borong terbesar, GM Klang membuka peluang kepada usahawan orang kurang upaya (OKU) menjana pendapatan serta memperluas pasaran menerusi penganjuran Bazar Ramadan dan Rioooh Raya Bazar sempena musim perayaan tahun ini
Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang, Nurhani Yasmeen Mohd Zainan berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan Koperasi Usahawan MyOKU Selangor sebagai komitmen memperkukuh inklusiviti terhadap komuniti OKU.

“Ini merupakan kolaborasi yang pertama bersama komuniti OKU dijalankan dengan menyediakan platform kepada mereka memperkenalkan produk serta bertemu pelanggan secara langsung di Bazar Ramadan ini.
“Setiap peniaga menawarkan pelbagai juadah tradisional dan hidangan berbuka puasa sekali gus memberi lebih pilihan kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui pada Iftar Mega GM Klang, di sini, semalam.
Nurhani Yasmeen menambah, GM Klang komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dan komuniti OKU pada masa akan datang serta terbuka menerima lebih banyak penyertaan.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Usahawan MyOKU Selangor, Muhamad Asyraf Mahat menghargai sokongan yang diberikan oleh GM Klang dalam membuka peluang kepada usahawan OKU menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan.
“GM Klang turut menawarkan diskaun sebanyak 25 peratus bagi sewaan tapak selama sebulan sekali gus membantu meringankan beban kepada usahawan OKU.
“Justeru, kami menyasarkan keseluruhan jualan oleh usahawan OKU sepanjang bulan Ramadan ini sekitar RM500,00 dengan anggaran jualan harian antara RM900 hingga RM1,000 bagi setiap peniaga,” ujarnya.

Bagi salah seorang peniaga, Mohd Nor Faizal Mohd Said, 35, peluang berniaga di bazar itu memberi harapan baharu untuk menjana pendapatan selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga pada November lalu.
Menurutnya, beliau kini menjalankan perniagaan nasi lemak bersama isterinya secara kecil-kecilan memandangkan masih menjalani rawatan dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Saya berharap dengan peluang yang diberikan di GM Klang ini dapat membantu meningkatkan pendapatan dan sambutan daripada pelanggan juga amat menggalakkan,” katanya.

Bagi peniaga, Siti Fatimah Zainal, 46, peluang berniaga itu amat bermakna memandangkan golongan OKU sering berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap.
Beliau yang disahkan menghidap skizofrenia sejak lapan tahun lalu itu turut mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 tahun yang OKU intelektual dengan sebelum ini hanya berniaga di pasar malam.
“Saya cuba ambil peluang baharu ini dengan mula berniaga di Bazar Ramadan GM Klang supaya ia dapat membantu menambah pendapatan keluarga saya,” ujarnya.
Bazar Ramadan GM Klang beroperasi setiap hari dari jam 3 petang hingga 8 malam dengan penyertaan 35 usahawan tempatan termasuk 15 usahawan OKU yang menawarkan pelbagai juadah tradisional dan hidangan berbuka puasa.
Manakala Rioooh Raya Bazar yang diadakan di sekitar premis berkenaan menawarkan pelbagai keperluan Aidilfitri termasuk pakaian raya, aksesori, kerepek dan kuih-muih serta dekorasi rumah.












