Ringan belanja sambut Aidilfitri, Karnival Mantai tawar daging serendah RM25 sekilo

7 Mac 2026, 2:56 AM
Ringan belanja sambut Aidilfitri, Karnival Mantai tawar daging serendah RM25 sekilo
Ringan belanja sambut Aidilfitri, Karnival Mantai tawar daging serendah RM25 sekilo

SHAH ALAM, 7 MAC: Kerajaan Selangor memperkenalkan program baharu Karnival Mantai bagi memberi peluang kepada rakyat membeli daging lembu dan kerbau pada harga lebih rendah menjelang Aidilfitri.

EXCO Pertanian berkata program itu akan diadakan di Beranang dan Shah Alam pada 17 dan 18 Mac selama 24 jam bagi membantu orang ramai mendapatkan daging segar pada harga berpatutan.

Menurut Dato’ Ir Izham Hashim, kupon bernilai RM100,000 disediakan kepada pengunjung bagi menikmati tawaran harga istimewa.

“Daging lembu yang dijual pada harga pasaran RM38 sekilogram akan ditawarkan pada RM30 sekilogram. Selain itu, kupon RM5 turut diberikan menjadikan harga akhir hanya RM25 sekilogram.

“Ayam juga disediakan sebagai pilihan tambahan dengan kupon diskaun RM5,” katanya ketika ditemui menerusi program Iftar Ramadan Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini semalam.

Izham berkata karnival berkenaan turut menampilkan suasana gotong-royong yang menjadi identiti tradisi ‘Mantai’, selain jualan barangan persiapan Aidilfitri seperti santan dan kerisik.

Menurutnya, penganjuran program itu diharap dapat memeriahkan lagi persiapan sambutan Aidilfitri dalam kalangan rakyat negeri ini.

Sementara itu, program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega sempena Aidilfitri juga diadakan dari 14 hingga 15 Mac ini di lapan lokasi.

Program kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut diadakan di beberapa lokasi menjelang Aidilfitri bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas sebagai persiapan perayaan.

“Orang ramai boleh mengikuti laman sesawang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau Facebook saya untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.