AMPANG JAYA, 5 MAC: Orang ramai berpeluang mendapatkan daging dan ayam pada harga lebih rendah menerusi Karnival Mantai anjuran Kerajaan Selangor di Shah Alam dan Beranang pada 16 hingga 19 Mac ini.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata sejumlah RM100,000 diperuntuk bagi penganjuran karnival itu yang bertujuan membantu orang ramai mendapatkan barangan dapur pada harga lebih rendah menjelang Aidilfitri.
Menurut beliau, lokasi pertama diadakan di pekarangan Stadium Shah Alam pada 17 hingga 18 Mac dengan peruntukan RM70,000 bagi penyediaan kupon, selain jualan dijalankan tanpa henti selama 48 jam.
“Sebanyak 10 tan daging akan dijual pada harga promosi RM25 sekilogram berbanding harga asal RM38 sekilogram.
“Bagi lokasi ini, RM50,000 diperuntukkan untuk kupon bernilai RM5 bagi setiap pengunjung yang membeli daging.
“Selain itu, 4,000 ekor ayam akan disediakan dengan pemberian kupon RM5 juga membabitkan peruntukan RM20,000. Harga asal RM17 seekor namun karnival ini menawarkan RM10 seekor,” katanya.
Beliau ditemui pada program Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, semalam.
Beliau menambah lokasi kedua karnival akan diadakan di tapak karnival Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada 16 hingga 19 Mac dengan jualan tanpa henti selama 96 jam.
“Di Beranang pula, pengunjung akan menerima kupon bernilai RM10 bagi pembelian daging yang dijual pada harga asal RM38 sekilogram, dengan sejumlah RM30,000 diperuntukkan bagi penyediaan kupon,” katanya.
Izham berharap penganjuran karnival berkenaan dapat membantu orang ramai mendapatkan keperluan dapur pada harga lebih berpatutan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.








