SHAH ALAM, 6 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) melaksanakan audit dalaman secara mingguan dan bulanan bagi memastikan semua kontraktor mematuhi piawaian operasi serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Selangor.
Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir, berkata audit berkenaan termasuk memastikan pemandu memiliki lesen memandu vokasional barangan (GDL) serta dokumen lengkap, selain jumlah pekerja mencukupi sebelum operasi memasuki sesuatu kawasan.
"Kita akan buat 'roll call' bagi memastikan pemandu tempatan mempunyai lesen dan dokumen lengkap serta jumlah pekerja mencukupi sebelum operasi dibenarkan masuk ke kawasan," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata mekanisme audit itu turut membolehkan pihaknya menilai semula prestasi kontraktor berdasarkan pematuhan jadual kutipan, kadar aduan serta pemantauan kawasan yang ditetapkan di bawah KPI bagi setiap zon perkhidmatan.
"Jika kita pantau secara harian atau mingguan, setiap kontraktor perlu memenuhi tahap minimum KPI yang merangkumi kadar pematuhan jadual kutipan, kadar aduan serta pemantauan kawasan.
"Apabila audit dilaksanakan, kita akan membuat penilaian semula termasuk menyemak kembali perjanjian yang telah ditetapkan bersama kontraktor. Setiap zon, syarikat dan kontraktor mempunyai KPI yang perlu dipatuhi dalam memastikan operasi kutipan berjalan lancar," ujarnya.

Menurut beliau, KDEBWM yang beroperasi di Selangor sejak 2016 dan kini memasuki tahun ke-10 pelaksanaan perkhidmatan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas termasuk pelaksanaan notis pembetulan, notis peringatan serta tindakan kompaun terhadap kontraktor yang gagal mematuhi peraturan.
"Kita dah biasa dengan SOP yang ditetapkan termasuk notis pembetulan dan notis peringatan kepada kontraktor. Setiap bulan kita juga menghadiri mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membentangkan prestasi setiap zon dan kawasan," jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat syarikat yang gagal mencapai tahap minimum KPI, pihaknya akan menjalankan analisis punca di tapak bagi mengenal pasti masalah sebenar.
"Kenapa pekerja tidak mencukupi, kenapa tiada pemandu tempatan atau kenapa lori rosak sehingga tidak dapat memasuki kawasan mengikut jadual? Semua perkara ini akan dikaji oleh pasukan kami bagi mengenal pasti punca sebenar sebelum tindakan pembetulan dilaksanakan dengan segera," katanya.

Tambahnya, KDEBWM turut melaksanakan pemeriksaan mengejut terhadap subkontraktor selain menyimpan data audit untuk dinilai setiap bulan bagi memastikan operasi sentiasa berada pada tahap optimum.
"Data ini kita simpan dan kita akan nilai prestasi semua syarikat setiap bulan. Apabila kita menghadiri mesyuarat bersama PBT, kita akan bentangkan prestasi setiap zon serta mengenal pasti syarikat yang berada di bawah tahap prestasi yang ditetapkan.
"Ketika ini terdapat sebanyak 1,303 lori di bawah operasi KDEBWM dan kita memastikan kesemuanya mematuhi spesifikasi audit yang ditetapkan bagi memastikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Selangor berjalan dengan lebih teratur dan berkesan," katanya.
Terdahulu, Ahli Majlis Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Ahmad Zahiri Zahid Sofian menyifatkan situasi kira-kira enam minggu lalu sebagai mencabar apabila aduan awam meningkat berikutan jadual kutipan sampah yang tidak konsisten di beberapa kawasan.
Beliau turut menggesa supaya pemantauan operasi dipertingkatkan termasuk pelaksanaan audit prestasi secara berkala terhadap KDEBWM bagi memastikan piawaian perkhidmatan kutipan sampah kekal pada tahap memuaskan.









