Loji Tenaga Hijau SIS di Rawang hanya diteruskan selepas kelulusan JAS

15 Mac 2026, 1:00 AM
Loji Tenaga Hijau SIS di Rawang hanya diteruskan selepas kelulusan JAS

SHAH ALAM, 15 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menegaskan pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SIS) di Rawang hanya akan diteruskan selepas memenuhi sepenuhnya semua keperluan peraturan alam sekitar serta mendapat kelulusan akhir Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata permohonan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan projek berkenaan ketika ini masih dalam proses semakan standard oleh JAS.

Menurutnya, maklum balas awal daripada JAS serta Jawatankuasa Semakan Teknikal Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIATRC) setakat ini tidak menunjukkan sebarang kebimbangan asas berkaitan reka bentuk cadangan projek atau kesesuaian lokasi pembangunan.

“Bertentangan dengan spekulasi yang tular, permohonan EIA bagi projek tersebut tidak ditolak dan masih berada dalam proses semakan standard oleh Jabatan Alam Sekitar.

“Maklum balas rasmi daripada JAS serta EIATRC setakat ini juga tidak menunjukkan sebarang kebimbangan asas berkaitan reka bentuk projek atau kesesuaian lokasi pembangunan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan semakan pentadbiran yang sedang dijalankan merupakan sebahagian daripada proses kawal selia biasa bagi projek infrastruktur berskala besar.

Maklum balas Jabatan Alam Sekitar setakat ini tidak menunjukkan kebimbangan asas berkaitan reka bentuk cadangan projek atau kesesuaian lokasi pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah. Foto BERNAMA

Katanya, proses tersebut turut melibatkan penambahbaikan dokumentasi serta penyusunan maklum balas daripada sesi libat urus awam yang dilaksanakan sepanjang dua tahun lalu, dengan lebih 12,000 maklum balas diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“JAS turut meminta agar dokumentasi maklum balas awam diperkemas bagi memastikan setiap pandangan direkodkan secara menyeluruh serta dinilai secara teliti dalam proses penilaian projek,” katanya.

Ramli berkata cadangan pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Selangor untuk memodenkan sistem pengurusan sisa pepejal selain mengurangkan kebergantungan terhadap kapasiti tapak pelupusan sisa yang semakin terhad.

Menurutnya, kemudahan itu akan menggunakan teknologi Waste-to-Energy (WtE) yang telah digunakan secara meluas di peringkat global sebagai kaedah selamat dan mampan dalam pengurusan sisa pepejal.

“Teknologi ini berpotensi menjana tenaga boleh diperbaharui di samping menguruskan sisa domestik secara lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata apabila beroperasi kelak, loji berkenaan akan dilengkapi sistem kawalan pelepasan yang ketat serta pemantauan alam sekitar secara berterusan bagi memastikan perlindungan kesihatan awam dan kelestarian ekosistem sentiasa terpelihara.

"KDEBWM komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa kawal selia, pakar teknikal serta masyarakat bagi memastikan pembangunan penyelesaian pengurusan sisa yang mampan dan berdaya tahan untuk Selangor dalam jangka panjang," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.