KDEBWM sasar kadar kitar semula di Selangor cecah 20 peratus tahun ini

29 Jan 2026, 8:11 AM
KDEBWM sasar kadar kitar semula di Selangor cecah 20 peratus tahun ini

KUALA LANGAT, 29 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyasarkan kadar kitar semula antara 15 hingga 20 peratus di seluruh negeri tahun ini menerusi pelaksanaan program Selangor Kitar Semula (SELKitar).

Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata sasaran itu adalah kesinambungan kepada pencapaian 15 peratus kadar kitar semula pada tahun lalu seperti ditetapkan menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Untuk tahun ini, KDEBWM menyasarkan kadar kitar semula antara 15 hingga 20 peratus di seluruh negeri dengan mempergiat pelaksanaan inisiatif SELKitar secara menyeluruh dan berfokus.

“KDEBWM akan melaksanakan program SELKitar di lebih banyak daerah dan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), bermula di sekolah-sekolah supaya rakyat lebih peka serta cakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian program SELKitar Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertuanya, Ahmad Zaki Yusof di Dewan Sri Jugra di sini, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Ahmad Zaki Yusof (empat, kiri) menyampaikan cek cura kepada wakil Politeknik Banting dalam Program Kitar Semula Selangor (SELKitar) anjuran MPKL bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat dan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Dewan Sri Jugra, Kuala Langat pada 29 Januari 2026. Hadir sama Pengarah Urusan KDEBWM Dato' Ramli Mohd Tahir (tiga, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Ramli berkata KDEBWM akan memperluaskan kerjasama strategik dengan semua PBT di Selangor bagi memperkasa pelaksanaan program SELKitar di seluruh negeri.

“MPKL menjadi PBT pertama melaksanakannya bermula bulan ini dan kita sudah mempunyai jadual untuk menjelajah seluruh Selangor sehingga hujung tahun.

“Ia bukan sahaja melibatkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar, malah merangkumi inisiatif sokongan seperti pemberian tong kitar semula serta insentif berbentuk wang tunai kepada sekolah yang terlibat,” jelasnya.

Program SELKitar yang diperkenalkan sejak April 2025 merupakan inisiatif jangka panjang Kerajaan Negeri bagi memacu amalan ekonomi pusingan melalui pengurusan sisa yang lebih berkesan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan SelKitar berjaya mengumpul 77,022 kilogram bahan kitar semula setakat 31 Oktober lalu.

Menurut beliau, jumlah itu dijangka terus meningkat selari dengan pengoptimuman operasi serta peluasan liputan perkhidmatan ke lebih 400 kawasan perumahan di seluruh Selangor.