KDEBWM teliti kutipan sampah 3 pagi, elak kesesakan, jimat bahan api

18 Apr 2026, 2:00 AM
KDEBWM teliti kutipan sampah 3 pagi, elak kesesakan, jimat bahan api
KDEBWM teliti kutipan sampah 3 pagi, elak kesesakan, jimat bahan api

SHAH ALAM, 18 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) sedang menilai pelaksanaan kutipan sisa pepejal seawal 3 pagi bagi mengurangkan kesan kesesakan trafik serta menjimatkan penggunaan bahan api

Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata langkah itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi selain melancarkan pergerakan lori sepanjang proses kutipan dijalankan.

“Jika kutipan dapat dimulakan lebih awal, contohnya jam 3 pagi, kita boleh elak kesesakan dan memastikan lori bergerak dengan lebih lancar.

“Sebelum ini kutipan bermula sekitar jam 5 pagi di depoh sebelum lori bergerak ke kawasan komersial diikuti kawasan perumahan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata kesesakan lalu lintas menyebabkan pergerakan lori menjadi perlahan dan kerap berhenti, sekali gus meningkatkan penggunaan diesel.

“Kita sedang menilai percubaan ini dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi menentukan sama ada jadual kutipan wajar diawalkan lagi satu atau dua jam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengeluarkan sampah pada waktu malam bagi memudahkan kutipan awal pagi dilaksanakan dengan lebih teratur dan efisien.

Pada April lepas, Ramli berkata KDEBWM terpaksa menanggung kenaikan kos diesel lebih RM4 juta setiap bulan bagi operasi kutipan sisa susulan ketegangan global semasa.

Beliau berkata lonjakan lebih 60 peratus itu menyebabkan kos operasi bulanan meningkat hampir RM10 juta, berbanding sekitar RM6 juta sebelum ini.

Menurutnya, kenaikan mendadak itu memberi tekanan besar kepada operasi kira-kira 1,300 lori KDEBWM setiap hari, satu cabaran kepada kecekapan sistem pengurusan sisa dan kelangsungan perkhidmatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.