SHAH ALAM, 5 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil langkah proaktif bagi memastikan kutipan sampah di Selangor lebih cekap susulan gangguan operasi di beberapa kawasan, termasuk Selayang dan Kuala Selangor, sejak beberapa minggu lalu.
Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata gangguan berlaku ketika proses pelarasan operasi sedang dilaksanakan untuk menyusun semula sistem kutipan sisa pepejal supaya lebih teratur dan efisien.

“Pertama sekali saya ingin memohon maaf sekiranya berlaku gangguan atau ketidakcekapan dalam kutipan sampah sejak beberapa minggu kebelakangan ini, khususnya di Kuala Selangor dan Selayang.
“Kelewatan ini berpunca daripada beberapa faktor operasi yang sedang ditangani bagi memastikan sistem kutipan sisa pepejal dapat diperkemas dengan lebih baik,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut beliau, di Kuala Selangor kelewatan berlaku susulan tamatnya kontrak lama sebelum kontrak baharu dilaksanakan sepenuhnya.
“Apabila kontrak lama hampir tamat, lazimnya akan berlaku sedikit gangguan di peringkat operasi sebelum kontrak baharu dilaksanakan sepenuhnya.
“Peralihan ini boleh menyebabkan ketidakstabilan operasi pada peringkat awal sebelum sistem kembali stabil,” jelasnya.
Di Selayang, peningkatan janaan sampah sepanjang Ramadan, terutamanya hasil aktiviti bazar dan perniagaan makanan, turut menjejaskan jadual kutipan sedia ada.
“Sepanjang Ramadan, jumlah janaan sampah meningkat berikutan aktiviti bazar Ramadan dan perniagaan makanan. Keadaan ini menyebabkan jumlah kutipan bertambah dan memberi kesan kepada jadual operasi sedia ada,” ujar beliau.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila tapak pelupusan di Kuang ditutup, menyebabkan lori perlu menghantar sisa ke tapak pelupusan Jeram yang lebih jauh.

“Apabila tapak pelupusan Kuang ditutup, lori kutipan perlu menghantar sampah ke Jeram yang jaraknya lebih jauh.
“Situasi ini menyebabkan masa perjalanan bertambah dan memberi kesan kepada jumlah pusingan kutipan yang boleh dilakukan dalam sehari,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan keadaan laluan ke tapak pelupusan yang kurang memuaskan menyebabkan beberapa lori mengalami kerosakan seperti patah spring atau tersangkut, sekali gus menjejaskan pusingan kutipan kedua dan ketiga.
Bagaimanapun, operasi kini kembali stabil selepas kerja penambahbaikan laluan dilaksanakan hasil pemantauan EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim dan Pengarah Kerja Raya Negeri Ir Syukri Ishak yang turun padang meninjau keadaan di Tanjung 12.
Ramli turut menjelaskan bahawa proses pengambilalihan kawasan baharu seperti Kajang, Sepang dan terkini Kuala Selangor memerlukan tempoh penyesuaian bagi operator mengenal pasti laluan serta jadual kutipan lebih efisien.
“Apabila semua lori baharu sudah beroperasi sepenuhnya dan aset lengkap, operasi kutipan sampah akan menjadi lebih stabil sekali gus mengelakkan isu sampah tidak dipungut daripada berulang,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Ahmad Zahiri Zahid Sofian menyifatkan situasi sekitar enam minggu lalu sebagai mencabar berikutan peningkatan aduan awam susulan jadual kutipan yang tidak konsisten.
Beliau menggesa pemantauan dipertingkatkan termasuk pelaksanaan audit prestasi berkala terhadap KDEBWM bagi memastikan piawaian perkhidmatan dapat dikekalkan.
MPS berharap jumlah aduan akan berkurangan selepas Mac apabila operasi kembali stabil susulan penyelarasan jadual dan penambahbaikan pengurusan yang sedang dilaksanakan.











