MPSepang guna sistem iPMS, semua perolehan kini sepenuhnya dalam talian

5 Mac 2026, 12:01 PM
MPSepang guna sistem iPMS, semua perolehan kini sepenuhnya dalam talian

SHAH ALAM, 5 MAC: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melaksanakan urusan perolehan secara dalam talian sepenuhnya bermula 1 Februari lalu menerusi Sistem Pengurusan Perolehan Pintar (iPMS) bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan ketelusan penyampaian perkhidmatan.

Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata sistem itu berfungsi sebagai hab utama pendaftaran kontraktor dan pembekal MPSepang, sekali gus memudahkan proses pendaftaran serta pengurusan data secara berpusat.

“Segala urusan perolehan direkodkan secara digital, boleh dijejaki dan dipantau, sekali gus mengurangkan risiko salah faham, kecuaian serta tohmahan tidak berasas.

“Ia mencerminkan komitmen organisasi dalam memperkukuh tadbir urus baik serta menegakkan prinsip keadilan dan akauntabiliti,” katanya.

Menurutnya, iPMS yang dilancarkan pada 28 Januari lalu turut memudahkan kontraktor dan pembekal mengemukakan dokumen sebut harga atau tender dengan lebih cepat dan efisien tanpa perlu memasukkan dokumen ke dalam peti tender.

Selain itu, keputusan pelantikan kontraktor atau pembekal boleh diakses secara dalam talian dalam tempoh 24 jam selepas mesyuarat perolehan bersidang, selain memudahkan proses audit dan meningkatkan ketelusan sistem pengurusan perolehan majlis.

“Semua urusan perolehan MPSepang, sama ada sebut harga atau tender, kini dilaksanakan sepenuhnya melalui iPMS bermula 1 Februari.

“Sehubungan itu, semua kontraktor, pembekal dan perunding diwajibkan menggunakan sistem ini bagi setiap urusan perolehan. Pendaftaran boleh dibuat di https://ipms.mpsepang.gov.my,” katanya.

Setakat 13 Februari lalu, sebanyak 14 kerja telah diiklankan melalui iPMS melibatkan kerja turapan jalan, pembaikan longkang, pembekalan toner, baik pulih peralatan permainan serta pembekalan perabot.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri akan melaksanakan transformasi menyeluruh melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mulai tahun ini bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memudahkan urusan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.