SHAH ALAM, 5 MAC: Empat agensi negeri berganding bahu menyediakan 4,000 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada komuniti sekitar Shah Alam serta pemegang taruh sempena program Ihya’ Ramadan petang ini.
Program itu melibatkan kerjasama strategik Media Selangor, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Proses memasak yang bermula sejak awal pagi di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, di sini, turut dibantu pihak pengurusan masjid serta sukarelawan dalam kalangan kakitangan agensi terlibat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu akan diteruskan sebagai usaha menghargai komuniti serta membantu golongan memerlukan.

“Warga Media Selangor memberi sepenuh komitmen sejak pagi tadi bermula dengan persiapan bahan, diikuti proses memasak sebelum agihan dibuat selepas Asar.
“Insya-Allah program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang bagi menyokong usaha membantu masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.













