Gotong-Royong Bebas Denggi MPHS di Ampang Pecah meriah, pupuk kesedaran komuniti

22 Dis 2025, 9:59 AM

SHAH ALAM, 22 DIS: Program Jom Bersih! Gotong-Royong Bebas Denggi anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) di Taman Damai, Ampang Pecah kelmarin berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 60 penduduk setempat.

MPHS memaklumkan program itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti selain memupuk kesedaran tentang kebersihan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar.

“Pengisian utama program ini ialah gotong-royong membersihkan kawasan sekitar balai raya bagi menghapuskan pembiakan Aedes dengan penyertaan aktif komuniti.

“Selain itu, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk mewarna untuk kanak-kanak, cabutan bertuah, kuiz berkaitan denggi dan kitar semula, serta sesi soal jawab bersama Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao,” menurut hantaran MPHS di Facebook.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ampang Pecah itu turut disertai Ahli Majlis MPHS Zon 9, Eng Teck Ming dan Pengerusi JPKK, Fadzilah Abdul Latif.

Selain aktiviti kebersihan, Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti MPHS membuka kaunter pengumpulan minyak masak terpakai yang berjaya mengumpul sebanyak 97 kg minyak.

Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor pula membuka reruai pameran Aedes bagi meningkatkan kesedaran awam tentang pencegahan penyakit bawaan nyamuk, menjadikan program ini platform efektif untuk memupuk kesedaran kebersihan dan kesihatan komuniti.