SHAH ALAM, 8 DIS: Seramai 600 peserta menyertai Program Gotong-Royong Perdana Daerah Gombak yang dilaksanakan serentak di 13 kampung, baru-baru ini.
Menurut Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, penyertaan melibatkan penduduk setempat, wakil agensi kerajaan, wakil rakyat, pelajar, persatuan penduduk serta badan bukan kerajaan (NGO).
Program anjuran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Gombak itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Selangor menjelang Monsun Timur Laut, yang dilihat penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kebersihan persekitaran selain mengukuhkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir kilat,” katanya.
Pegawai Daerah Gombak turut berharap penglibatan besar komuniti dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk, khususnya mereka yang kerap berdepan risiko banjir kilat.
Program berkenaan digerakkan melalui kerjasama lima agensi induk, iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Gombak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Gombak.
Turut serta memberi sokongan ialah rangkaian Pusat Khidmat Rakyat (PKR) DUN Sungai Tua, Penyelaras DUN Gombak Setia, DUN Rawang, Penyelaras DUN Hulu Kelang dan Penyelaras DUN Kuang.
Monsun Timur Laut (MTL) bermula November hingga Mac tahun depan, dengan antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sepanjang tempoh tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip sebelum ini memaklumkan keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai sekiranya hujan lebat berterusan selama beberapa hari.





