SHAH ALAM, 1 FEB: Peningkatan kes denggi di daerah Petaling mendorong pelajar Sarjana Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tampil menggerakkan program gotong-royong bersama komuniti bagi membendung penularan penyakit berbahaya itu.
Wakil pelajar, Muhammad Iqbal Mohd Yusof berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) itu memfokuskan Pangsapuri Taman Bunga Negara, Seksyen 27, di sini yang dikenal pasti antara kawasan mencatatkan kes denggi tinggi.

“Data dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menunjukkan lokasi ini berisiko tinggi untuk kes denggi. Jadi kita harapkan kerjasama semua penduduk termasuk warga asing untuk mengambil peranan.
“Selain aktiviti gotong-royong, kami turut mengadakan pameran denggi dalam bahasa Melayu, inggeris, Nepal dan Myanmar supaya memudahkan penduduk faham.
“Dalam masa sama, pemeriksaan kesihatan asas juga turut ditawarkan kepada penduduk,” katanya berucap di Program Kesihatan Komuniti: Program Bebas Denggi 2026 hari ini.
Sementara itu, Ahli Majlis Wan Shaharuddin Shah berkata kepadatan penduduk di kawasan berkenaan meningkatkan risiko penularan denggi, sekali gus menyukarkan usaha menjaga kebersihan persekitaran.

Menurutnya, kawasan tersebut bukan sahaja merekodkan jumlah kes denggi yang tinggi, malah pernah mencatatkan kematian akibat penyakit berkenaan.
“Ancaman denggi adalah serius dan nyata. Justeru, program hari ini amat bertepatan bagi membanteras lokasi pembiakan nyamuk. Saya berharap semua penduduk dapat memberikan kerjasama,” katanya.
Dalam program berkenaan, KDEBWM menyediakan tong Roll-On Roll-Off (RoRo) bagi memudahkan penduduk membuang sampah sebelum dikutip pihaknya, selain menaja 150 cenderahati kepada penduduk setempat.




