Kes tipu jualan tanah RM1.5 juta: Pelakon drama 'Nur' dan suami direman tiga hari

5 Mac 2026, 3:20 AM
Kes tipu jualan tanah RM1.5 juta: Pelakon drama 'Nur' dan suami direman tiga hari

SHAH ALAM, 5 MAC: Pelakon drama ‘Nur’ dan suaminya direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia, yang mengakibatkan kerugian RM1.5 juta.

Memetik laporan Berita Harian, pasangan itu ditahan di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, semalam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata pasangan suami isteri berusia 40-an dan 30-an itu ditahan di tempat persembunyian mereka susulan satu laporan polis berkaitan kes penipuan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis juga meminta ruang supaya siasatan dilakukan dengan telus dan orang awam diminta tidak membuat spekulasi," katanya.

Menurut polis, mangsa seorang lelaki berusia 56 tahun ditawarkan untuk mendapatkan beberapa lot tanah kurniaan Kerajaan Selangor di mukim Cheras pada 21 September 2023.

Ahli perniagaan dalam bidang pembangunan hartanah itu bagaimana pun telah membuat beberapa transaksi bernilai RM1.5 juta melalui akaun bank bapa suspek dan akaun bank isteri suspek.

Pasangan itu dibawa ke mahkamah atas permohonan reman yang dibenarkan oleh Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah.

Sebelum ini, media turut melaporkan seorang usahawan produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan pelakon wanita sama bersama suaminya, membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.